SimplySiti tawar pelajar UiTM peluang berniaga

Presiden Simply SS Trading Sdn Bhd, Datuk Seri Nurhaliza Tarudin ketika Majlis Menandatangani MoU antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Shopee Mall Malaysia Sdn Bhd, Simply SS Trading Sdn Bhd, Xinn Global Sdn Bhd di Hotel UiTM Shah Alam - Foto Muhd Asyraf Sawal
Presiden Simply SS Trading Sdn Bhd, Datuk Seri Nurhaliza Tarudin ketika Majlis Menandatangani MoU antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Shopee Mall Malaysia Sdn Bhd, Simply SS Trading Sdn Bhd, Xinn Global Sdn Bhd di Hotel UiTM Shah Alam - Foto Muhd Asyraf Sawal

 

SHAH ALAM: Simply SS Trading Sdn Bhd, pengeluar jenama Simplysiti menawarkan peluang perniagaan kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Program Simplysiti Dropship Enrichment Arena (SDEA).

Presidennya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, berkata, syarikatnya menawarkan peluang itu menerusi format 'dropship', satu model perniagaan mudah dan berisiko rendah yang popular dalam kalangan belia.

Katanya, program itu bakal dilaksanakan secara berperingkat di tiga kampus UiTM iaitu Kampus Dungun, Terengganu; Kampus Machang, Kelantan dan Kampus Jengka di Pahang sebelum diperluaskan ke kampus lain.

"Saya menyasarkan seramai 200 orang pelajar dari setiap kampus akan dipilih untuk menyertai program ini.

"Di samping memberi peluang pekerjaan secara sambilan kepada pelajar, program ini juga memberi platform kepada pelajar UiTM memulakan perniagaan dalam bidang keusahawanan kosmetik halal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara UiTM dengan syarikatnya di sini, hari ini.

Selain Simply SS Trading, UiTM turut menandatangani MoU dengan dua lagi syarikat iaitu Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd dan Xinn Global Sdn Bhd bagi menawarkan peluang keusahawanan kepada pelajarnya.

Pada majlis itu UiTM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Azraai Kassim; Siti Nurhaliza mewakili Simply SS Trading manakala Shopee oleh Ketua Shopee Mall, Kenneth Soh dan Xinn Global oleh Pembangunan Perniagaannya, Zohriyyah Mokhtar.

Ia disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Sementara itu, Syed Zainal Abidin berkata, MoU itu akan membuka peluang yang besar kepada warga UiTM khususnya pelajar untuk mempraktik ilmu keusahawanan dalam konteks perniagaan sebenar.

Katanya, peluang itu juga akan memberi pengalaman kepada pelajar yang terbabit, yang akan meningkatkan pengetahuan praktikal dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan keyakinan diri untuk membuka perniagaan sendiri semasa atau selepas pengajian.

"Sekiranya pelejar memilih untuk bekerja di entiti perniagaan atau organisasi, pendedahan dan penglibatan dalam pengurusan dan operasi perniagaan akan menjadikannya pekerja yang lebih memahami bagaimana entiti perniagaan beroperasi secara efektif dan cekap.

"Kerjasama antara UiTM dengan Simply SS Trading, Shopee Mobile Malaysia dan Xinn Global sekali lagi menunjukkan keyakinan industri perniagaan dengan ekosistem keusahawanan UiTM dan keupayaan pelajarnya," katanya.

Mengulas lanjut Syed Zainal Abidin berkata, program yang dikenali sebagai Usahawan Digital Milenial (UDM) dengan kerjasama Shopee itu akan digerakkan secara berperingkat meliputi keseluruhan sistem UiTM.

UDM katanya, adalah satu model perniagaan yang dibangunkan oleh Shopee Mobile Malaysia melalui platform microsite e-marketplace.

"Sasaran program adalah seramai 1200 orang pelajar dalam tempoh setahun dan program ini dijangka berjalan untuk lima tahun dari 2021-2025," katanya.

Bagi kerjasama dengan Xinn Global pula, UiTM melancarkan satu program yang dinamakan Dim Sum Kiosk Go Global (DSKG2) yang menawarkan peluang perniagaan dalam segmen makanan dan minuman (F&B).

Media/Article Link: https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2020/12/768720/simplysiti-tawar-pelajar-uitm-peluang-berniaga